fbpx

Pameran halal disatukan di bawah satu payung – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Usahawan di Pusat Konvensyen Bangi, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

BANGI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan semua pameran berkaitan halal disatukan di bawah satu payung yang sama untuk memperkukuh dan memperluaskan industri halal negara.

Beliau berkata, kita mempunyai pelbagai pameran produk halal seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Halfest Malaysia, Karnival Usahawan Desa (KUD) dan lain-lain pameran daripada industri halal.

“Bagi saya hanya ada dua pasaran iaitu satu pasaran domestik dan satu lagi adalah pasaran antarabangsa. Oleh itu, cara yang terbaik ialah kita mengumpulkan semua pempamer dan pengeluar produk halal ini di satu tempat.

“Kita jemput peniaga-peniaga daripada luar negara untuk membuat padanan perniagaan supaya kita boleh menggali potensi untuk produk-produk ini dipasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Himpunan Usahawan anjuran Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) di Pusat Konvensyen Bangi, di sini, hari ini.

Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal turut mengingatkan peniaga supaya bersaing secara sihat dan jangan membunuh antara satu sama lain dengan produk serta pasaran yang sama.

“Tetapi, kita hendaklah mengadakan kolaborasi agar produk-produk itu dapat disatukan dengan jenama yang sama tetapi kita pasarkan di peringkat antarabangsa.

“Permintaan pasaran luar negara lebih besar daripada permintaan dalaman dan kita mesti jalankan kerjasama erat,” jelasnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan September adalah bulan produk halal Malaysia dalam menyatukan para usahawan dan juga pengeluar-pengeluar bahan-bahan lain.

“Ini termasuk perkhidmatan farmaseutikal, kosmetik, perubatan tradisional dan herbal serta makanan suplemen agar kita dapat satukan untuk menyantuni serta memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.

“Sehubungan itu, saya mahu mengajak para usahawan untuk mengambil peluang yang semakin meluas dalam industri halal yang ketika ini eksport produk halal adalah RM53.72 bilion iaitu 3.8 peratus berbanding jumlah keseluruhan eksport negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI