fbpx

Laksana pusingan kerja antara salah satu enam reformasi JIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Anuar (gambar kecil).

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) akan mengambil tindakan segera dengan melaksanakan enam langkah reformasi kepada proses kerja dan penyampaian perkhidmatan bagi meningkatkan mutu agensi itu.

Tindakan itu bagi memperbaiki 11 senarai kelemahan utama jabatan yang disenaraikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah pertama ialah pusingan kerja untuk ketua, penyelia dan pegawai akan dilaksanakan dengan segera untuk pegawai yang telah berkhidmat lebih dari tiga tahun.

“Pegawai-pegawai berkaitan telah dikenal pasti dan arahan pertukaran akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan operasi harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak terjejas.

“Langkah kedua ialah menyemak dan menambah baik semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang meliputi aspek pengurusan kawalan keselamatan pintu masuk, pengurusan cap keselamatan dan pengurusan pemeriksaan pelawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, ia bagi menutup ruang dan peluang (loophole) untuk pegawai memanipulasi dan mengambil kesempatan di atas ruang-ruang yang ada.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, langkah ketiga yang akan diambil JIM adalah meningkatkan penyeliaan dan pemantauan termasuk pemeriksaan mengejut ke atas ketua-ketua kumpulan dan pegawai.

Ujarnya, ia bagi memastikan pematuhan arahan yang berkuat kuasa yang akan dilaksanakan secara berterusan oleh pegawai integriti dan penyelia. Tindakan tegas akan diambil bagi pegawai yang melanggar arahan.

“Seterusnya keempat, menambah baik sistem bagi membolehkan pemantauan dibuat ke atas transaksi yang dilakukan secara harian bagi mengesan transaksi-transaksi yang mencurigakan.

“Kelima, mempercepatkan proses pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan visual dan audio di lokasi-lokasi strategik bagi pemantauan berterusan di bilik kawalan,” katanya.

Tambah beliau lagi, langkah terakhir adalah meningkatkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan lain-lain agensi dari masa ke semasa.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang pegawai kanan lelaki imigresen yang disifatkan ‘berpengaruh’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi dalang utama kepada sindiket membawa warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

Lelaki berusia awal 40-an itu merupakan salah seorang daripada 50 penguat kuasa JIM yang ditahan SPRM ekoran membawa masuk pekerja asing melalui kaunter tertentu tanpa melalui pemeriksaan ditetapkan.

Kesemua mereka ditahan menerusi Op Pump, Op Setting dan Open Pump 2.0 hasil risikan yang dijalankan Bahagian Perisikan
SPRM selama enam bulan.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, KDN dan JIM amat serius dalam perkara ini dan sentiasa menilai dan menambah baik sistem penyampaian.

“Sesungguhnya kita tidak akan melindungi mana mana yang terlibat dalam salahlaku. Sebagai antara jabatan penting kita akan terus melakukan usaha meningkatkan keupayaan memberikan perkhidmatan terbaik demi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI