fbpx

Op Global: 200 orang ditahan, 37 kertas siasatan dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 31 lagi ahli GISB Holdings (GISBH) termasuk 17 individu yang memegang jawatan di dalam organisasi tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semua individu terbabit ditahan dalam operasi bermula 18 September di Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah (Sempadan Malaysia-Thailand).

Beliau berkata, permohonan reman bagi semua tangkapan tersebut telah dibenarkan selama tujuh hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Tangkapan terhadap semua individu itu telah menjadikan jumlah tangkapan terkini seramai 200 orang manakala seramai 139 suspek ditahan sebelum ini telah disambung reman dan 23 lagi diberi jaminan polis atas sebab-sebab tertentu.

“Sehingga kini, PDRM telah membuka sebanyak 37 kertas siasatan termasuk tiga penambahan kes pada 17 September di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 serta satu di Sungai Kapar, Selangor di bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2007,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak lapan kertas siasatan melibatkan tujuh suspek telah berjaya dituduh dengan 29 pertuduhan.

“Semua mangsa berusia 18 tahun ke atas telah diserahkan kepada waris manakala yang berusia 18 tahun ke bawah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

“PDRM sedang giat dan kekal komited dalam melaksanakan siasatan secara terperinci dalamm operasi ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih berlangsung.

“Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi melengkapkan siasatan terhadap kes ini secara tuntas dan menyeluruh,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI