fbpx

Asyraf Wajdi nafi ayam, bekalan mentah MRSM tiada sijil halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi (gambar kecil) menafikan bekalan ayam mentah di MRSM tiada sijil halal.

PETALING JAYA – Dakwaan bahawa ayam serta bahan mentah lain yang dibekalkan daripada syarikat tidak mempunyai sijil halal ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah tidak benar.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setiap kontraktor makan telah diwajibkan untuk memperinci secara bertulis senarai bahan-bahan mentah.

Ujarnya, di dalam dokumen kontrak juga telah disertakan bahagian nama pembekal termasuk jenama dan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lain-lain.

“Semua ayam dan bahan mentah yang dibekalkan ke MRSM wajib ada sijil halal.

“Tidak benar jika ada penceramah dakwa ayam yang dibekalkan ke MRSM ada daripada syarikat yang tak dapat sijil halal,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Tambah Asyraf, pihaknya juga telah mengarahkan dengan tegas agar pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan dibuat oleh pengetua, penyelia asrama dan warden.

“Bahkan pemantauan daripada pegawai daripada Mara Daerah dan Negeri secara berkala termasuklah pegawai-pegawai Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) Mara Ibu Pejabat juga diarahkan berbuat perkara yang sama,” ujarnya.

Katanya lagi, semua ini dilakukan bagi memastikan semua bekalan dan spesifikasi bekalan makanan yang disediakan untuk pelajar adalah mengikut apa yang telah disyaratkan dalam kontrak termasuk soal yang paling penting halal dan toyyiban (kebersihan dan keselamatan).

“InsyaAllah saya sendiri dari semasa ke semasa akan lakukan terjahan dan lawatan mengejut ke semua MRSM supaya tiada perlanggaran dilakukan.

“Saya mengambil tanggungjawab kerana ini adalah amanah yang saya galas. Sudah tentu kesejahteraan dan keberkatan untuk para pelajar adalah keutamaan saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI