PETALING JAYA – Seorang pemuda tidak menyangka permainan gusti lengan bersama ahli keluarga berakhir dengan episod duka apabila tulang tangannya patah.
Menerusi video berdurasi 56 saat yang dimuat naik @bradercukur0, kejadian itu berlaku selepas dia menawarkan diri untuk bermain secara suka-suka pada hari keluarga.
Pada 20 saat pertama, pemuda itu kelihatan bersungguh-sungguh dan tampak berusaha keras untuk menjatuhkan lengan pihak lawan.
Tidak lama kemudian, bunyi kuat ‘klik’ seperti ranting patah kedengaran pada lengannya sebelum dia longlai secara tiba-tiba.
Perlawanan yang disaksikan seluruh ahli keluarga itu akhirnya terhenti sebelum pemuda tersebut dikerumuni bagi diberikan bantuan selanjutnya.
Pada penghujung video berkenaan, lelaki itu menunjukkan dia berada di atas kerusi roda dengan keadaan tangan diampuh.
Lelaki itu turut berkongsi gambar imbasan X yang menunjukkan tulang lengannya patah.
“Permainan ni okey je, cuma saya salah ‘step’ (langkah). Main sekadar suka-suka. Saya memang tak ada pengalaman bermain, sekadar nak cukupkan orang sahaja. Tangan bersimenlah apa lagi,” tulisnya di ruangan komen.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 186,500 tontonan, 8,469 tanda suka dan 4,427 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ada yang berkongsi pengalaman yang sama apabila lengan mereka juga patah akibat bermain gusti lengan selain turut berkongsi teknik yang betul.
“Sakit weh, aku pernah kena, main gusti lengan juga. Sekarang dah tiga bulan lepas pembedahan masuk besi. Alhamdulillah tulang dah bersambung doktor cakap,” komen Fauzi.
“Saya bekas budak ‘arm wrestling’ bang. Main ni jangan suka-suka kalau tak tahu teknik. Memang bahaya. Semoga cepat sembuh,” komen Ateh.
“Semoga cepat sembuh sahabat. Cuma nak kongsi kan, teknik tu salah. Jangan melebihi bahu dari pergelangan genggaman tangan,” komen Ajeed pula. – KOSMO! ONLINE