PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat serta ribut petir di beberapa kawasan sekitar Semenanjung terutamanya di Perak melibatkan daerah Manjung dan Perak Tengah pagi ini.
“Keadaan ini turut melibatkan hujan renyai yang diperhatikan di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia. Negeri-negeri yang terkesan termasuk Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta Johor.
“Cuaca kelihatan mendung di kebanyakan kawasan pada pagi ini. Walaupun keadaan hujan lebat dan ribut petir sedang berlaku, ia dijangkakan akan beransur reda menjelang lewat pagi,” kata MetMalaysia menerusi laporan cuaca di YouTube.
Sementara itu, bagi negeri Sabah dan Sarawak, hujan beserta ribut petir sedang berlaku di kawasan Pantai Barat, pedalaman Sabah, serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Di Sarawak, bahagian Miri dan Limbang turut mengalami cuaca buruk, dan hujan dijangka berterusan sehingga lewat pagi nanti.
“Menjelang petang, MetMalaysia menjangkakan hujan akan lebih tertumpu di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu, dan Pahang.
“Namun, cuaca di negeri-negeri utara dan Pantai Barat dijangka lebih baik, dengan keadaan yang lebih cerah,” jelas MetMalaysia.
Dalam laporan sama, MetMalaysia menjangkakan beberapa kawasan sekitar Sabah dan Sarawak juga mengalami cuaca buruk ketika ini. – KOSMO! ONLINE.