LUMRAH bergelar selebriti, pasti berdepan dua kelompok pemerhati sama ada yang meminati, mahupun pembenci disebabkan beberapa faktor.
Dalam kalangan figura popular itu juga terdapat yang bijak melayan peminat, namun sebilangan lagi menetapkan prinsip diri mereka bukan milik masyarakat.
Bahkan ada juga yang berpegang utuh dengan prinsip ini terlampau menjarakkan diri sehingga tercetus salah faham apabila peminat menganggap mereka sombong.
Tanpa peminat siapalah artis, barangkali itu yang perlu dihadam segelintir artis yang meletakkan batasan antara diri dan pemuja bakat mereka.
Minggu ini Gala menyenaraikan beberapa selebriti yang pernah dicop ‘kekwat’ atau sombong hanya disebabkan salah faham atau terlepas cakap.
- Zul Arifiin
Nama pelakon Zul Ariffin bukan kali pertama terpalit isu sombong dengan peminat bahkan secara terang-terangan menolak permintaan peminat untuk bergambar.
Sebelum ini, seorang peminat mendakwa aktor bertubuh sasa itu dengan kasar menolak permintaan peminat untuk merakamkan foto bersama di sebuah restoran di Sabah.
Menurut individu tersebut, Zul meminta mereka menghormati dirinya dengan alasan tidak selesa bergambar ketika sedang menjamah makanan.
Meskipun isu tersebut sudah lama, impaknya masih diperkatakan sehingga kini apabila stigma artis sombong selepas popular melekat dengan pelakon berusia 37 tahun itu.
Seperti yang selalu diamalkan segelintir artis, Zul tampil menafikan segala tuduhan tersebut dan menyifatkannya tidak benar sama sekali.
Penulis sedar artis juga insan biasa. Ada ketikanya mereka penat dengan kerja yang dilakukan, namun bukankah itu jalan yang mereka pilih apabila bergelar selebriti.
- Meerqeen
Artis muda yang satu ini tidak perlukan pengenalan panjang. Selain drama dibintanginya, ada sahaja kontroversi yang menjadikan dirinya titik tumpuan ramai.
Karier kini di puncak, timbul isu kurang enak apabila pemilik nama penuh Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam itu didakwa semakin sombong sekiranya diajak berbual dan bergambar dengan peminat.
Malah ada juga yang berpendapat, sikapnya sudah berubah dan tidak lagi membumi seperti di awal kemunculan.
Tampil menangkis segala tuduhan, jejaka berusia 23 tahun itu menegaskan tidak pernah berbuat demikian malah sentiasa memenuhi permintaan peminat untuk bergambar meskipun pada waktu kurang sesuai seperti ketika menjamu selera.
- Nad Zainal
Turut tersenarai dalam Gala minggu ini adalah pelakon Nad Zainal yang tidak pernah surut dilabel sombong dan gemar ‘mencuka’ ketika berjumpa peminat.
Sebelum ini, seorang peminat meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pelakon itu yang seolah-olah tidak perasan apabila disapa.
Individu tersebut menyatakan dia sudah melambai dan senyum kepada pelakon itu beberapa kali, namun tetap tidak diendahkan.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan dakwaan tersebut selain mendedahkan pernah berdepan situasi sama ketika bertemu aktres berusia 34 tahun.
Bukan itu sahaja, terdahulu, pelakon Cina Buta dan suaminya yang juga pelakon Ungku Ismail tampil sebagai selebriti jemputan di sebuah festival sempena Syawal di Putrajaya, tahun lalu.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 23 Januari tahun lalu itu juga didakwa ‘kekwat’ atau sombong apabila tidak membalas senyuman dan sapaan peminat.
- Ben Amir
Lebih sedekad mencanai bakat sebagai pelakon, Ben Amir juga pernah terpalit kontroversi termasuk layanannya terhadap peminat peminat.
Pelakon filem Rebel itu dilabel sombong apabila ‘mencuka’ diajak bergambar bahkan sanggup menolak pelawaan tersebut.
Bukan itu sahaja, ada juga peminat berpendapat kelantangannya dalam media sosial tidak sama dengan pembawakan dirinya di luar.
Tidak berdiam diri, jejaka berusia 33 tahun itu menempelak segala tuduhan yang disifatkan sengaja menjejaskan reputasinya.
Katanya, tiada sebab untuk dia bertindak sedemikian kecuali berada dalam situasi kecemasan atau perlu bergegas ke lokasi penggambaran.
Namun respons netizen tetap sama, jejaka tinggi lampai itu dikritik sengaja memberi pelbagai alasan demi menutup keegoannya.