GUA MUSANG – Penurunan indeks jenayah sepanjang tahun lalu di semua daerah di Kelantan disebabkan penularan wabak Covid-19 bukan alasan untuk anggota polis bersikap selesa.
Kesemua Anggota polis tidak mengira pangkat di negeri ini perlu berusaha menangani jenayah supaya kekal menurun tahun ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, perkara pokok adalah komitmen anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang menjaga daerah paling luas di Kelantan.
Katanya, kedudukan Gua Musang yang menjadi laluan utama masuk dan keluar ke negeri lain sering menjadi tumpuan untuk melakukan jenayah.
“Sebelum ini, banyak kejadian jenayah dikesan melalui jalan utama itu kerana mereka menggangap tidak selamat melalui jalan lain masuk ke Kelantan.
“Saya mengharapkan perancangan yang lebih sistematik terutama di kawasan sempadan bagi membanteras kes penyeludupan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah yang baharu, Superintendan Sik Choon Foo di IPD Gua Musang di sini hari ini.
Shafien berkata, Choon Foo yang baharu dilantik sebagai Ketua Polis Daerah mempunyai banyak pengalaman kerana bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang sebelum ini.
Katanya, kerjasama di semua peringkat pegawai dan anggota dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pihak polis. – K! ONLINE.