JAKARTA – Satu klip video tular di Aceh memaparkan makanan pelik yang diterima seorang atlet Pekan Olahraga Nasional (PON), sehingga mencetuskan kekecohan di media sosial, lapor laman berita Liputan 6 kelmarin.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @fakta.jakarta, lelaki itu dilihat membuka kotak bungkusan berisi makanan ringan mereka.
Makanan ringan itu mengandungi sebungkus roti dan satu kotak minuman.
Bagaimanapun, kotak minuman yang disangka susu adalah santan.
Kejadian berlaku di Universiti Syiah Kuala (USK) pada 14 September lalu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1.8 juta tontonan bersama 36,300 tanda suka.
“Kenapa tidak diberikan ayam mentah? Supaya boleh masak sendiri,” sindir seorang netizen.
“Roti celup santan Kara,” sindir netizen lain. – AGENSI