KUALA LUMPUR – Pelawak dan pelakon, Lan Pet Pet mendedahkan dirinya dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sebelum tampil melakukan persembahan pada konsert SenarioUnion di Melaka pada 31 Ogos lalu.
Hasil pemeriksaan, Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 55, berkata, doktor mengesyaki terdapat empat saluran jantungnya tersumbat sehingga menyebabkan dia mengalami sesak nafas pada hari tersebut.
Dia bagaimanapun percaya punca utama perkara tersebut berlaku berkemungkinan disebabkan waktu makan yang tidak teratur dan menyebabkan masalah angin dalam perut.
“Pada malam 31 Ogos lalu memang betul saya jatuh sakit, dimasukkan ke zon merah ICU di Hospital Melaka.
“Selepas periksa, doktor syak empat saluran jantung tersumbat tetapi saya nafikan yang saya ada sakit jantung.
“Saya beritahu doktor, bukan masalah jantung tetapi ada masalah lain. Mungkin sebab saya lambat makan atau perut masuk angin,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, Lan tidak berhenti meminta pertolongan daripada Allah SWT dengan memperbanyakkan zikir selain menunaikan solat sunat bagi membantu menyembuhkan dirinya:
Seperti satu keajaiban, doktor yang merawatnya turut terkejut melihat dia mampu sembuh dan membuat persembahan bersama Senario pada malam tersebut.
“Saya banyakkan zikir dan solat sunat, alhamdulillah diberikan kesembuhan.
“Ahli Senario lain pun turut menangis melihat saya hadir ke konsert itu. Kami sudah macam adik-beradik, apabila ada ahli yang sakit sudah pasti akan bersedih atau risau.
“Sebelum itu saya ada hantar video pada ahli lain maklumkan keadaan kesihatan tak begitu baik dan minta mereka teruskan,” ujarnya.
Bagi memastikan situasi cemas sebegitu tidak berulang, Lan dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan lanjut di Institusi Jantung Negara.
Dalam pada itu, Lan memberitahu ada menghubungi rakannya yang juga merupakan seorang pakar saraf bagi mendapatkan pandangan mengenai kesihatannya.
“Saya ada jumpa dengan pakar saraf, dia maklumkan saya tiada penyakit jantung sebaliknya berkaitan dengan pemakanan.
“Saya bukan jenis yang ambil sarapan dan makan tengah hari. Mungkin sakit tempoh hari disebabkan angin dalam perut dan waktu makan yang tak menentu,” katanya lagi.
Terdahulu, anggota Senario iaitu Saiful Apek memaklumkan Lan jatuh sakit pada hari persembahan mereka yang dijadualkan berlangsung pada malam 31 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE