fbpx

2 kenderaan Malbatt diserang ketika lalui zon pengaman Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled.

PETALING JAYA – Insiden serangan orang awam terhadap dua kenderaan pasukan pengaman Malaysia Batalion (Malbatt850-11) di Lebanon, kelmarin berlaku ketika melalui kawasan di bawah tugasan tanggungjawab pasukan pengaman Itali (Italbatt).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika itu kenderaan yang membawa 10 pegawai dan anggota Malbatt850-11 di bawah misi Pasukan Keselamatan Interim PBB (UNIFIL) sedang melalui kawasan Tes Road-Burj Al Qibli, di bandar Tyre, Lebanon dan dalam perjalanan pulang ke kem Marakah.

“Kenderaan peronda Malbatt dibaling batu menyebabkan berlaku kerosakan. Kawasan yang dilalui bukan kawasan yang ditugaskan tetapi kerana ada mesyuarat dalam kawasan itu yang dipertanggungjawabkan kepada pasukan Itali.

“Memang penduduk di situ bersikap dingin dengan pasukan keamanan dikelolakan oleh pasukan Itali,” katanya ketika mengulas kejadian tersebut.

Tambah Mohamed Khaled, selepas dimaklumkan oleh pegawai Malbatt kepada penduduk bahawa mereka adalah pasukan Malaysia, tindakan agresif tersebut dihentikan serta-merta.

Beliau juga mengesahkan tiada pegawai atau anggota terlibat mengalami kecederaan dalam insiden serangan terbabit.

“Susulan kejadian ini kita mungkin akan meletakkan bendera Malaysia di atas kenderaan yang terbabit dalam misi keamanan dan pengawasan di Lebanon selain menyarankan supaya semua pegawai dan anggota Malbatt850-11 untuk lebih berhati-hati,” katanya.

Terdahulu, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan insiden serangan ke atas dua kenderaan pasukan pengaman Malbatt850-11 berlaku pada pukul 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI