KUALA LUMPUR – Bekas ahli GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) diminta tampil menyalurkan maklumat mengenai kes pengabaian, penganiayaan, penderaan dan salah laku seksual di rumah amal yang mempunyai kaitan dengan organisasi tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta supaya berbuat demikian.
“Bekas pengikut GISBH yang pernah mengalami pengalaman sama dan ada maklumat berkaitan pengabaian, penganiayaan, penderaan dan salah laku seksual di rumah amal juga diminta tampil.
“Kita juga akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan aktiviti GISBH ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan lima elemen jenayah dikesan terhadap kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dari 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Antara elemen itu adalah penderaan fizikal dan mental kanak-kanak, pengantunan seksual (child grooming), buruh kanak-kanak, pengabaian dan tumbesaran terbantut.
Seramai 149 mangsa berusia satu hingga 10 tahun diberikan perintah jagaan sementara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tindakan dibuat mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Baki mangsa seramai 243 orang masih ditempatkan di Pusat Latihan Polis (pulapol) Kuala Lumpur dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat.-KOSMO! ONLINE.