PETALING JAYA – Industri halal bukan hanya soal produk yang memenuhi syariah, tetapi melibatkan keseluruhan ekosistem dalam kehidupan seharian baik dari makanan, farmaseutikal, kosmetik hingga kepada kewangan dan pelancongan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga disifatkan sebagai sebuah industri yang melangkaui sempadan agama dan negara.
Terdahulu, Ahmad Zahid hadir merasmikan Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 (TEH2024) di sebuah hotel di ibu negara pagi tadi.
Menurut Ahmad Zahid, penganjuran TEH2024 adalah untuk memperkukuhkan komitmen Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal global.
“Bengkel ini adalah platform terbaik untuk kita membincangkan langkah-langkah inovatif dalam memajukan lagi ekosistem halal Malaysia.
“Dengan ekonomi halal yang semakin berkembang pesat, saya berharap bengkel ini dapat melahirkan idea-idea segar dan strategi-strategi berkesan untuk memperkasakan ekosistem halal kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam masa sama, beliau berharap setiap langkah yang diambil hasil daripada bengkel itu akan membawa industri halal negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Sekali gus memanfaatkan potensi ekonomi halal global serta memacu pembangunan negara kita dengan lebih berdaya saing. Insya-Allah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE