fbpx

Semua lawatan ke luar negara perlu dirujuk KSU, dapat kelulusan menteri – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar beramah mesra dengan orang ramai selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Darussalam, Puchong, Selangor hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

PUCHONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan semua projek baharu termasuk lawatan ke luar negara mesti dirujuk kepada Ketua Setiausaha (KSU) atau Ketua Pengarah (KP) untuk kelulusan menteri berkenaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu diambil sebagai salah satu usaha pembaharuan dalam jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan selain mengelakkan pembaziran dana awam.

“Saya nak menyatakan ‘reform’ dalam jabatan kerajaan, syarikat-syarikat kerajaan, agensi-agensi kerajaan mesti berterusan.

“Rabu lalu dalam mesyuarat Jemaah Menteri kita tegas menuntut semua syarikat berkaitan kerajaan, jabatan dan agensi kerajaan walau pihak Lembaga berkuasa, tetapi kadangkala Lembaga buat keputusan yang memihak kepada mereka.

“Oleh itu semua projek baharu, lawatan ke luar negara mesti dirujuk kepada KSU atau KP dan diluluskan oleh menteri berkenaan supaya ada yang akhirnya bertanggungjawab secara langsung,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, baru-baru ini beliau membatalkan satu lawatan ke pameran berskala kecil di Berlin oleh sebuah kementerian walaupun tiket penerbangan dan hotel disediakan untuk kakitangan.

Menurut Anwar, beliau mendapati seramai 68 orang daripada kementerian dan agensi berkaitan mendaftar untuk ke Berlin, sedangkan hanya sebahagian kecil yang diperlukan.

“Ini sebagai mesej yang jelas kita bercakap tentang ‘reform’. Menteri-menteri untuk melawat mesti bentang kertas (kerja) kepada Jemaah Menteri dan selalunya kita buat potongan apakah perlu dua atau tiga kakitangan.

“Kalau tidak perlu minta tangguh dan umpamanya disekalikan dengan lawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang mana perjanjian persefahaman (MoU) boleh ditandatangani untuk jimatkan belanja.

“Tetapi kadangkala mesej ini tidak jelas dan pelanggaran semangat bahawa ini dana rakyat dan kita harus bertanggungjawab,” katanya.

Jelas Perdana Menteri, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara serta semua KSU dan KP untuk menyatakan ketegasan berhubung perkara tersebut dan meminta kerjasama mereka.

“Majoriti penjawat awam terutama di peringkat tertinggi memahami dan menyokong pelanggaran ini tidak boleh diizinkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI