LISBON – Portugal mengumumkan pengeluaran duit syiling khas dengan nilai €7 euro (RM33) yang menampilkan wajah bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo, lapor laman berita Inside World Football semalam.
Pakar logam syarikat Pacific Precious Metals, Dan Barrett berkata, syiling istimewa itu diinspirasikan daripada nombor jersi ikonik bintang bola sepak tersebut.
“Permukaan syiling ini menampilkan wajah pemenang lima kali anugerah berprestij, Ballon d’Or (Ronaldo) ini bersama perkataan ‘CR7’ di atasnya.
“Keputusan mengeluarkan syiling ini dibuat bagi meraikan kerjaya Ronaldo yang cemerlang,” kata Barrett.
Pemain berusia 39 tahun itu menjaringkan 130 gol untuk Portugal, selain menjuarai Euro 2016 dan menjulang trofi Liga Negara-Negara bersama A Selecao pada 2019.
Ronaldo juga muncul orang pertama yang memiliki lebih 1 bilion pengikut di media sosial.
Tambah Barret, nilai syiling itu dijangka melambung tinggi dan bakal menjadi ‘tumpuan besar’ dalam kalangan pengumpul dan peminat.
“Dengan status Ronaldo sebagai antara atlet paling dikenali di dunia, syiling Euro CR7 ini dijangka menarik tumpuan luar biasa.
“Berdasarkan kandungan emas syiling itu dan pengikut Ronaldo di seluruh dunia, kami menjangkakan syiling terhad ini akan dapat dijual sehingga AS$150,000 (RM631,452) di pasaran,” tambahnya. – AGENSI