KUALA LUMPUR – Polis menahan anak bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad serta anak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) , awal pagi ini.
Kedua-dua individu itu antara tujuh lelaki ditahan dalam Op Global di empat lokasi di Pahang dan Kelantan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, serbuan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bermula pukul 11 malam tadi sehingga pukul 4.07 pagi ini
Katanya, permohonan reman ke atas kesemua lelaki berusia 24 hingga 35 itu dibuat di Mahkamah Shah Alam, Selangor.
“Mereka direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Razarudin berkata, kesemua yang ditahan itu ditempatkan di Lokap Berpusat Shah Alam.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, 19 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH antara ditahan dalam serbuan sepasukan polis, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, isteri kepada pemimpin tersebut antara 12 lelaki dan 7 perempuan berusia 25 hingga 65 tahun ditahan sekitar pukul 5.40 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
permohonan reman selama tujuh hari terhadap 19 individu itu dijalankan di Mahkamah Shah Alam, semalam.-KOSMO! ONLINE.