SHAH ALAM – Gara-gara gimik bekas suami, Datuk Red memberi cincin di atas pentas kepada penyanyi Adira, mereka dikecam kerana dilihat seolah-olah sengaja mempermainkan perkahwinan dan perceraian.
Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 33, menjelaskan gimik tersebut hanyalah sebahagian daripada acara untuk menjayakan majlis pelancaran koleksi Siti Adira bersama Miragold.
“Saya bersyukur abang Red (bekas suami) memberi komitmen untuk membantu. Jadi, saya sangat hargai dia yang mahu membantu dan bekerjasama.
“Bukan beri cincin sebab hendak kahwin atau mahu main-main tidak, tapi sekadar untuk mencantikkan lagi majlis tersebut.
“Jimatlah, kita perlu bayar orang lain sebab sudah ada orang dekat yang boleh tolong kita (ketawa),” kata Adira.
Tambah Adira, dia tidak mampu untuk menutup mulut orang daripada membuat kecaman soal kehidupannya.
“Semua orang tahu perkara kahwin dan cerai tidak boleh dibuat main. Apa yang berlaku adalah jalan dan proses yang perlu saya hadapi.
“Tidak perlu semua orang faham mengapa dan kenapa. Cukup saya dan bekas suami serta keluarga terdekat sahaja yang tahu,” luah Adira.
Dalam pada itu, Adira yang telah selesai tempoh edah menyerahkan soal jodohnya bersama Datuk Red kepada Allah.
Memberi peluang dan ruang antara satu sama lain, kata penyanyi lagu Milik Kita itu mereka tidak terburu-buru untuk kembali bersama.
“Buat masa ini biar dia capai dulu apa yang diinginkan dan selesaikan apa yang perlu. Kalau ada jodoh dan sekiranya semua sudah selesai. Insya-Allah.
“Tetapi sebagai manusia kita hanya mampu merancang jika Allah tidak memberi kami jodoh, saya dan abang Red okey sahaja untuk kekal hanya sebagai kawan,” tutur Adira.
Sungguhpun begitu kongsi Adira, sepanjang fasa memberi ruang antara satu sama lain, dia melihat begitu banyak progres positif dalam diri bekas suaminya itu.
“Saya tidak menafikan yang banyak peningkatan dalam diri abang Red daripada banyak segi yang tidak perlu saya beritahu kepada umum.
“Alhamdulillah setakat ini dia menunjukkan komitmen yang sangat baik. Anak-anak pun tidak rasa perbezaan sangat kerana kami masih menjalani kehidupan seperti biasa dan bapa mereka ada datang berjumpa. Doakan yang baik-baik buat kami,” kata Adira
Terdahulu, Adira telah dilantik sebagai duta jenama barangan kemas Miragold dan telah melancarkan koleksi cincin sempena namanya Siti Adira yang hanya dijual secara eksklusif iaitu sebanyak 1,000 bentuk cincin sahaja.
Adira dan Datuk Red atau nama sebenarnya, Datuk Seri Adnan Abu bercerai talak satu oada 24 April lalu selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Anggrek, 6, Asan 5, Anggun 4, dan Ayob berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE