fbpx

Sanusi ke Jepun bukan melancong bersama isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi kini berada di Kumamoto City, Jepun atas urusan rasmi untuk mempelajari pengurusan operasi takungan air bawah tanah di wilayah berkenaan.

ALOR SETAR – Pejabat Menteri Besar (MB) Kedah menafikan tuduhan yang tular di media sosial kononnya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sedang bercuti di luar negara bersama isteri ketika negeri ini dilanda banjir dan ribut.

Pejabat MB Kedah dalam satu kenyataan berkata, Muhammad Sanusi sememangnya berada di luar negara tetapi bukan atas tujuan bercuti atau melancong.

“Kunjungan beliau ke Kumamoto City, Jepun adalah atas urusan rasmi untuk mempelajari pengurusan operasi takungan air bawah tanah di wilayah berkenaan.

“Ini kerana satu projek alternatif akan dijalankan di Langkawi untuk mendapatkan bekalan air dari sumber bawah tanah bagi memenuhi keperluan pengguna di pulau Permata Kedah itu sehingga 2040,” katanya.

Menurutnya, projek itu adalah di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

“Projek membina takungan air bawah tanah di Langkawi yang dijangka siap pada 2028 ini adalah yang pertama di Asia Tenggara. Ia amat diperlukan bagi mengatasi masalah bekalan air di Langkawi yang sering terjejas sekali gus mencemarkan imej selaku pulau pelancongan antara terbaik di dunia.

“Turut serta dalam lawatan sambil belajar itu ialah beberapa staf pengurusan dan teknikal Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK),” ujarnya.

Kata kenyataan itu lagi, Jepun sememangnya memiliki teknologi, kepakaran dan pengalaman mencukupi dalam pengurusan takungan air bawah tanah yang mana selain Kumamoto, takungan sama juga terdapat di Okinawa.

“Lawatan ini sudah diatur lama sejak keputusan dibuat dalam mesyuarat LSANK bertarikh 1 April 2024. Delegasi kerajaan negeri Kedah berangkat ke negara Matahari Terbit itu pada 17 September sebelum banjir,” jelasnya.

Ujarnya, Ketiadaan MB di tanah air tidak akan menjejaskan operasi bantuan kerana agensi kawalan, bantuan dan keselamatan sedia ada di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan diyakini mampu menangani situasi dengan cekap.

“Walaupun berada jauh di luar negara, Menteri Besar sentiasa mengikuti setiap perkembangan bagi memastikan beban bencana yang dihadapi oleh semua mangsa banjir Kedah ditangani dengan cepat dan berkesan.

“Adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk fitnah disebar dalam keadaan kita menghadapi musibah seperti ini walau atas apa tujuan sekalipun,” katanya.

Tambahnya, ujian yang Allah SWT turunkan itu seharusnya menjadi muhasabah untuk masing-masing menginsafi diri dan meningkatkan amal dengan membantu mereka yang ditimpa bencana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI