PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkolaborasi bersama Agrobank menerusi Program Pembangunan Belia Tani di Kalangan Siswazah (PROBEST 2.0 2024) bagi memperkasa komuniti agropreneur muda.
Program yang menerima dana peruntukan sebanyak RM1.6 juta ini bertujuan membuka peluang buat anak-anak muda khususnya golongan asnaf dan B40 bagi mempelajari kemahiran yang boleh dijadikan sumber pendapatan.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, dengan ilmu pertanian dan penternakan yang diperoleh, anak-anak muda ini dapat memulakan projek sejurus tamat pengajian.
Katanya, ini bukan sahaja membantu para pelajar menambah pendapatan semasa, tetapi juga membuka jalan untuk kerjaya masa depan yang boleh meningkatkan taraf hidup.
“Melalui PROBEST, Agrobank mensasarkan pendapatan tambahan para peserta dapat mencapai sebanyak RM1,500 sehinga RM2,000 sebulan melalui hasil jualan sendiri dan kepada syarikat peneraju.
“Pertanian moden yang diterapkan dalam PROBEST merupakan satu daya penarik untuk meningkatkan penglibatan generasi muda dalam sektor ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Tengku Ahmad Badli Shah, dengan memperkenalkan teknik dan teknologi terkini, ia dapat mengubah persepsi bahawa pertanian hanya melibatkan kaedah tradisional.
“Pendedahan kepada penggunaan teknologi ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, tetapi juga menjadikan pertanian lebih menarik dan relevan dalam era digital.
“Bagi pelaksanaan program PROBEST 2.0, Agrobank telah memperuntukkan kos keseluruhan berjumlah RM2.2 juta,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 61 orang pelajar kurang berkemampuan dari institusi pengajian tinggi yang terlibat seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Samarahan dan tiga kolej vokasional akan terpilih.
PROBEST melibatkan tempoh penyertaan selama 12 bulan dan bukan hanya tertumpu pada aspek pengeluaran, tetapi juga memberi tumpuan kepada kemahiran perniagaan.
Pada enam bulan pertama, peserta akan dibekalkan dengan bantuan elaun bulanan sebanyak RM500, dana permulaan, alat kelengkapan projek, latihan keusahawanan dan bantuan teknikal projek.
Bagi enam bulan seterusnya, peserta akan dibimbing untuk pengembangan perniagaan dengan memohon geran Agropreneur Muda (GAM).
Peserta yang berjaya menamatkan program ini digalakkan untuk mencari tapak baharu bagi perkembangan perniagaan mereka.- KOSMO! ONLINE