fbpx

Irdawaty komited sebar ilmu pemasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IRDAWATY menerima anugerah semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah pada 2020/2021.

“BUAT sahaja dulu, tidak perlu fikir terlalu banyak kerana persiapan teknikal dan barang sudah ada.

“Selebihnya akan datang secara semula jadi, termasuklah kandungan yang mahu disampaikan, siapa sasaran dan bagaimana menangani sebarang masalah.”

Itulah jawapan ringkas Irdawaty Jamrah, 46, seorang jurulatih yang memiliki tauliah daripada Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan jurulatih ‘master’ e-usahawan untuk membangunkan kemahiran peserta melalui bengkel kendalian syarikatnya.

“Memang awalnya terasa sedikit sulit kerana saya tidak biasa dengan teknik baharu yang diperkenalkan tetapi sentiasa berlatih supaya kelihatan semula jadi.

“Saya cuba jadi diri sendiri supaya berkeyakinan tinggi dan sentiasa berhubungan dengan penonton di saluran media sosial, sekali gus ‘mengikat’ mereka,” katanya.

Berasal daripada keluarga Bajau di Kota Belud, Sabah, Irdawaty mengakui, ramai peserta yang bersemangat menyertai bengkel bagi menguasai teknik pemasaran dalam talian termasuk di media sosial.

“Semua peserta bagus dan mempunyai tujuan memperbaiki tahap kepandaian bergelar peniaga tetapi sesetengahnya terlalu berhati-hati memilih kandungan.

“Pesanan saya, mulakan dengan mengikut trend terkini, niche apa yang menyokong rating menjadi tinggi melalui media sosial, carian di Google atau laman berita.

“Apabila sudah menemuinya, buat kajian yang sesuai dan paling penting padankan juga dengan cita rasa sendiri.

“Selain itu, kandungan bersifat ‘evergreen’ seperti tip yang praktikal, panduan, bimbingan dan sebagainya lebih digemari,” ujar pemilik IJ Enterprise itu.

Kisah Irdawaty menjadi seorang jurulatih agak menarik kerana dia sebelum ini merupakan Pengurus MYJ Security Sdn. Bhd. di Tawau.

SEBAHAGIAN usahawan yang menyertai bengkel anjuran Irdawaty.

Untuk makluman, syarikat itu membekalkan pengawal keselamatan di sekolah, kilang, pasar raya dan agensi atau syarikat yang memerlukan.

“Saya melepaskan jawatan ketika Covid-19 dan terfikir untuk beralih angin. Tidak sangka saya lulus dengan cemerlang semasa Training of Trainers (TOT).

“Bermula saat itu, saya mencabar keupayaan diri dengan menawarkan latihan di seluruh Sabah, sebelum beralih ke Sarawak, Kelantan dan Johor,” katanya.

Menurut lulusan Diploma Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Mara di Kota Samarahan, Sarawak itu, biarpun beralih bidang, namun semakin lama dia berasa serasi dan selesa.

Buktinya, dia pernah menerima Anugerah Master Trainer eUsahawan 2019, geran di bawah Program Transformasi Usahawan Sabah (TRUS-MID) 2021 serta tersenarai sebagai top 50 dalam Business Pitching Competition 2022, Sabah Entrepreneur Creation.

Ditanya mengenai cabaran, dia memaklumkan, halangan sentiasa ada termasuk menyesuaikan cara penyampaian di dalam bengkel.

“Sebagai jurulatih, saya berhadapan dengan pelbagai tahap pemahaman peserta. Apakah peserta faham atau sebaliknya? Namun selepas bengkel, saya sentiasa ada untuk mereka jika diperlukan,” katanya.

Meskipun bergelar ‘master’ dalam bidangnya ketika ini, namun Irdawaty turut menjalankan perniagaan mengeluarkan produk sendiri di bawah jenama Jooda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI