fbpx

Banjir: Kedah salur segera bantuan RM1,000 setiap ketua isi rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita menghulurkan makanan kepada suaminya yang uzur di PPS Lubuk Batu, Jitra hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah akan menyalurkan segera Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran kejadian banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penyelarasan bantuan dibuat melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah terlibat.

Selain itu, Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara sebanyak RM1,000 akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah kepada semua KIR yang berpindah ke PPS.

“Setakat pukul 2 petang tadi, sebanyak 29 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu Kota Setar (8), Pokok Sena (4), Pendang (3), Kubang Pasu (7), Bandar Baharu (1), Kulim (3) dan Kuala Muda (3). Seramai 3,835 mangsa melibatkan 1,137 keluarga ditempatkan di PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau pada masa sama menasihatkan semua individu terlibat supaya mematuhi setiap arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah ke PPS.

“Kegagalan untuk berpindah ke PPS atau mematuhi prosedur yang diarahkan akan menyebabkan mangsa tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan.

“Anggota polis akan ditempatkan di setiap PPS untuk memudahkan mangsa membuat laporan. PKOB negeri dan daerah akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh bencana untuk memantau dan mengawasi keadaan,” ujarnya.

Orang ramai terutama ibu bapa diminta untuk sentiasa mengawasi anak-anak bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Ini adalah ujian daripada Allah SWT, banyakkan berdoa supaya keadaan tidak menjadi lebih mudarat dan dipermudahkan urusan bagi kita semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI