SHAH ALAM – Denda maksimum RM50,000 atau hukumam penjara akan dikenakan terhadap premis terutama kilang di Selangor yang tidak mendapatkan lesen di bawah peraturan baharu Dasar Pelepasan Sifar (ZDP).
Tindakan tegas mulai Januari tahun depan itu dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Perlesenan Pembangunan Air Kembalian, Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, peraturan yang diwartakan pada 20 Jun lalu itu meliputi 13 aktiviti kilang termasuk perindustrian, akuakultur, perlombongan, kerja tanah dan ternakan ruminan.
Menurutnya, statistik menunjukkan hanya 215 daripada lebih 30,000 kilang berdaftar memohon lesen itu dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sehingga kelmarin.
“Justeru, tempoh enam bulan iaitu sehingga hujung tahun ini diberikan kepada semua pemilik kilang untuk membuat lesen tersebut.
“Berdasarkan peraturan ZDP, premis yang gagal berbuat demikian boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya selepas merasmikan sesi libat urus pelaksanaan ZDP itu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.
Jelas Jamaliah, inisiatif melibatkan kerjasama semua pemain industri itu memfokuskan pengurusan kuantiti dan kualiti sumber air daripada punca persekitaran.
“ZDP bertujuan menggalakkan pengusaha supaya meminimumkan kuantiti pelepasan efluen menerusi kaedah kitar dan guna semula air sisa premis masing-masing. Selain meningkatkan tahap kesediaan sumber air negeri, ia sekali gus mengurangkan risiko masalah kualiti air dan pencemaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE