PETALING JAYA – Fenomena terdengar satu lirik yang kerap berulang-ulang dalam fikiran sehingga susah untuk dihilangkan adalah dikenali sebagai ‘earworm’.
Menurut Public Health Malaysia (PHM) dalam hantaran di Facebooknya, ia biasa terjadi, terutamanya bila seseorang mendengar lagu yang ‘catchy’ atau ada melodi yang mudah diingati.
Ujarnya, ada beberapa tips yang boleh dilakukan bagi menghilangkan fenomena ‘earworm’ termasuklah menukar aktiviti lain.
“Antara tipsnya, tukar aktiviti, alih perhatian dengan sesuatu yang baharu.
“Dengarkan lagu yang lain, kadang-kadang, lagu baharu boleh ‘menolak’ earworm keluar,” katanya.
Tambah PHM, seseorang juga boleh cuba untuk mendengar lagu sampai habis kerana minda akan mencuba untuk ‘menyelesaikan’ lagu yang tergantung.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa video yang mengandungi lagu dinyanyikan sekumpulan pengikut sebuah syarikat jenama tempatan.
Lagu tersebut menjadi fenomena sehingga ada yang mengubah lirik dan memuat naik video jenaka menggunakan nyanyian kumpulan itu. – KOSMO! ONLINE