fbpx

Sudah tiga hari trip feri Kuala Kedah-Langkawi batal, laut bergelora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

ALOR SETAR – Buat hari ketiga berturut-turut, semua perjalanan feri keluar masuk ke Langkawi dari Kuala Kedah terpaksa dibatalkan akibat keadaan laut yang masih bergelora dan angin kencang.

Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, pembatalan itu melibatkan 10 trip perjalanan keluar dan masuk ke Langkawi membabitkan 3,513 penumpang yang telah membeli tiket.

Katanya, salah sebuah feri terlibat sudah bertolak dari Langkawi menuju ke Kuala Kedah kira-kira pukul 8.30 pagi tadi, namun terpaksa berpatah balik berikutan keadaan laut yang terlalu bergelora selain angin kencang.

“Feri itu yang membawa 589 penumpang terpaksa berpatah balik demi keselamatan semua. Pihak pengurusan kemudian terpaksa mengambil keputusan membatalkan semua perjalanan feri buat hari ketiga berturut-turut berikutan angin bertiup kencang antara 40 hingga 50 kilometer sejam, selain ombak setinggi 3.5 meter.

“Pembatalan itu membabitkan lima perjalanan dijadualkan dari Langkawi ke Kuala Kedah hari ini iaitu pada pukul 8.30 pagi, 10.30 pagi, 12 tengah hari, 1.30 tengah hari dan 2.30 petang.

“Manakala perjalanan yang dibatalkan dari Kuala Kedah ke Langkawi pula adalah pada pukul 10 pagi, 11.30 pagi, 1.30 tengah hari, 3 petang dan 4.30 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, lencongan perjalanan melalui Terminal Feri Kuala Perlis akan dilakukan mengikut keupayaan terminal tersebut menerima jumlah feri pada satu masa.

“Perkara itu perlu mendapat kebenaran Jabatan Laut Malaysia (JLM) dengan jabatan tersebut akan membuat penilaian sewajarnya terutama melibatkan aspek keselamatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI