fbpx

Simbah cat: Lelaki suruhan along dipenjara setahun, denda RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wei Leong (kiri) dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan cara menyimbah cat di kediaman mangsa, Julai lalu.

IPOH – Seorang lelaki ‘suruhan’ along dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan cara menyimbah cat di kediaman mangsa, Julai lalu.

Tertuduh, Chee Wei Leong, 44, juga berdepan hukuman penjara empat bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas lelaki terbabit mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah pada pagar dan pintu sebuah rumah di Kampung Baru Bukit Merah di sini yang menyebabkan kerugian RM500 pada pukul 6.01 pagi, 13 Julai 2024.

Lelaki itu juga didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah rumah di Taman Utama Bercham di sini yang menyebabkan kerugian lebih RM25 pada pukul 7 pagi, 8 Julai 2024.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama, manakala penjara setahun bermula tarikh tangkap pada 15 Julai lalu bagi pertuduhan kedua.

Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus, Wei Leong yang didakwa atas empat pertuduhan sama di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan mengaku bersalah atas kesalahan berkenaan.

Noor Azreen Liana kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI