fbpx

Angin kencang tumbangkan pokok durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail menunjukkan keadaan rumahnya yang rosak teruk akibat dihempap pokok durian yang tumbang dalam kejadian ribut di Kampung Kuala Begia di Jeneri, semalam.

SIK – Tiga beranak tergamam apabila sebatang pokok durian tumbang sehingga mengakibatkan sebahagian besar rumah kayu dua tingkat didiami mereka rosak dalam kejadin ribut di Kampung Kuala Begia, Jeneri di sini semalam.

Menurut Ismail Azali, 62, kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu berlaku ketika dia mahu menunaikan solat zuhur di tingkat bawah rumah.

“Saya terdengar bunyi angin kuat dan mendapati dahan-dahan pokok mulai condong ke arah saya.

“Saya segera melarikan diri sambil menjerit memanggil anak (Shazani Ismail) yang ketika itu berada di tingkat atas bersama isteri (Zarina Mat) di ruang tamu agar segera menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Ismail, dalam sekelip mata, pokok durian sebesar dua pemeluk orang dewasa tumbang dan menghempap bahagian tengah rumah.

“Keseluruhan rumah terutama di bahagian atas dan ruang tamu rosak teruk.  Peralatan elektrik dan perkakasan rumah juga ditimpa hujan,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk Kampung Kilang Ubi, Mazera Ahmad, 42, pula berkata, kejadian ribut pada pukul 2.15 petang semalam menyebabkan keseluruhan bumbung ruang tamu rumah diterbangkan angin.

“Kejadian berlaku selepas solat zuhur yang mana ketika itu saya dan dua anak berehat di ruang tamu. Kami terdengar angin kencang meniup bumbung rumah dan tanpa sempat berkata apa, bumbung rumah melayang diterbangkan angin,” katanya.

Katanya, dua anaknya yang ketika itu berada di ruang tamu sempat menyelamatkan diri dan mereka segera menyelamatkan perkakasan elektrik, buku-buku sekolah dan sebagainya ke tempat yang selamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI