fbpx

Guru jual barang kemas, buat pinjaman peribadi takut ditahan ‘polis’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUANTAN – Gara-gara takut ditahan polis, seorang guru sanggup menjual barang kemas dan membuat pinjaman peribadi sehingga kerugian RM527,733 selepas terperdaya dengan ‘scammer’ yang menyamar pegawai polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 5 Ogos lalu selepas mangsa menerima panggilan daripada suspek yang menyamar dari MCMC dan menyatakan terdapat aduan atas nombor telefon mangsa sebelum panggilan disambungkan kepada ‘pegawai polis’.

“Suspek mengatakan mangsa mempunyai barangan menyalahi undang-undang dan terlibat aktiviti pengubahan wang haram yang mana mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk membuka akaun bank baharu bersama kad ATM dengan nombor pin yang diberikan oleh suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh 9 Ogos hingga 13 September lalu mangsa diminta memindahkan semua wang simpanan dan hasil jualan barang kemas ke akaun bank tersebut bagi tujuan siasatan.

Katanya, mangsa juga telah diarahkan untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM250,000 daripada sebuah bank dan memasukkannya ke dalam akaun bank tersebut.

“Suspek telah meminta mangsa meletakkan kad ATM tersebut di lokasi yang diberikan dan sumber wang adalah wang simpanan mangsa, wang jual barang kemas dan pinjaman peribadi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Ujarnya, masyarakat juga diingatkan sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI