fbpx

19 termasuk pemimpin utama GISBH ditahan, permohonan reman petang ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara mengesahkan seramai 19 individu termasuk pemimpin utama GISB Holdings (GISBH) ditahan dalam serbuan di ibu negara awal pagi tadi.

Difahamkan, mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita termasuk isteri pemimpin tersebut. Mereka yang berusia 25 hingga 65 tahun ditangkap pada pukul 5.40 pagi tadi oleh sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan reman ke atas 19 individu tersebut akan dibuat di Mahkamah Shah Alam petang ini.

“Kesemua mereka dalam tindakan permohonan reman bermula pada pukul 3 petang ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022,” katanya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seramai 402 kanak-kanak diselamatkan menerusi Op Global di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, seramai 10 kanak-kanak dihantar ke rumah perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mendapati mereka menghidap autisme dan kelainan upaya.

Mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 202 lelaki dan 190 perempuan. Proses saringan kesihatan dijalankan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur dengan bantuan JKM dan Kementerian Kesihatan.

Setakat ini seramai 159 individu ditangkap membabitkan 39 lelaki dan 120 wanita. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI