fbpx

Sarjan didakwa terima suapan lepaskan suspek kes ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar selepas didakwa menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengambil rasuah sebanyak RM1,500 sebagai balasan melepaskan dua suspek terlibat kes milikan air ketum di sini, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafiz Anuar, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Menurut pertuduhan, tertuduh pada pukul 6.17 petang 17 Februari tahun lalu yang bertugas sebagai sarjan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan, secara rasuah meminta untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM1,500 daripada seorang individu.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di IPD Kuantan yang mana wang tersebut sebagai dorongan untuk tertuduh melepaskan dua suspek iaitu pasangan bapa dan anak disyaki terlibat kes milikan air ketum yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Sehubungan itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikedalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Amirul Ridzuan Hanif.

Mahkamah memutuskan tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI