fbpx

Tingkatkan peranan JKM dalam isu kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita di Shah Alam, hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu dipertingkatkan dalam semua aspek penjagaan kanak-kanak termasuk dalam isu berkaitan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini agar pembentukan sahsiah dan peribadi kanak-kanak itu tidak diketepikan agar mampu membina semula masa depan mereka.

“Itulah keprihatinan yang disebut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri semalam dan beliau mengambil beberapa peranan proaktif bukan hanya sekadar menyelamatkan kanak-kanak itu (isu GISBH) atau mereka berada di Malaysia.

“(Jangkaan kanak-kanak) umur harus dijangka ibu bapa, tetapi kita lihat mereka ditempatkan di satu tempat di mana yang dipanggil abang dan kakak (pegawai JKM) yang menjadi pemerhati kepada mereka.

“JKM saya fikir terus diberikan peranan melihat perkara begini agar pembentukan sahsiah atau peribadi anak-anak ini tidak akan disampingkan dan dibina semula untuk penyediaan masa depan mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada peranan JKM perlu diperkasakan tidak kira sesebuah rumah pertubuhan itu didaftarkan di bawah jabatan itu atau tidak.

Sebelum ini, Nancy memaklumkan kesemua mangsa yang diselamatkan dalam kes ekploitasi didalangi GISBH kini ditempatkan dalam keadaan selamat di bawah penjagaan JKM dan pengawasan PDRM.

Malah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain menyatakan hanya dua daripada 20 buah rumah amal yang diserbu Polis Diraja Malaysia menerusi Op Global didapati tidak berdaftar dengan JKM.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan meneliti semula SOP atau garis panduan penubuhan rumah amal, Ahmad Zahid menjelaskan Kabinet membincangkan perkara itu dan melihat kepada aspek yang berbeza terutama dalam pembahagian tugasan mengikut skop agensi dan jabatan yang terlibat.

“Kita serahkan kepada PDRM untuk lihat aspek jenayah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Negeri dari segi akidah atau pegangan.

“Kebajikan di bawah JKM dan aspek ini penting untuk mereka memberikan kesinambungan apa yang mereka (kanak-kanak) itu lalui.

“Akhirnya pada hemat saya, masa depan mereka di mana Kementerian Pendidikan (KPM) atau Kementerian Pendidikan Tinggi melihat bagaimana soal pendidikan terutama akademik atau Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) agar dapat disuntik kepada mereka agar mempunyai masa depan sendiri dan tidak terikat apa yang dilalui dalam organisasi berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI