PETALING JAYA – Pencipta kandungan YouTube, IShowSpeed sekali lagi tular selepas lelaki itu membeli seutas jam tangan berjenama mewah, Rolex yang berharga AS$120 (RM512).
Lebih mengejutkan, aksesori tersebut dibeli di sebuah kedai di kaki lima Petaling Street, Kuala Lumpur.
Di dalam video siaran langsung, IShowSpeed melihat jam tangan itu sebelum bertanyakan kepada peniaga sama ada produk itu asli atau tidak.
Setelah peniaga itu menyatakan ia asli, IShowSpeed terus menunjukkan minat dengan mencuba jam tersebut dan bertanyakan harga kepada lelaki berkenaan.
Peniaga itu menjawab harganya adalah RM120, namun IShowSpeed menyerahkan AS$120 secara tunai sebelum diterima bulat-bulat oleh lelaki berkenaan.
“Saya baru beli jam tangan Rolex asli di Malaysia berharga AS$120 sahaja. Tak percaya saya beli jam dengan begitu mudah sekali,” katanya sambil menunjukkan ke arah kamera.
Video itu tular sehingga meraih 1.1 juta tontonan, 1,100 ulang ciap dan 8,100 tanda suka.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang terkejut IShowSpeed mempercayai dan membeli jam berjenama mewah itu walaupun dijual di kaki lima dengan harga yang begitu murah.
“Diakan dari Amerika Syarikat (AS), tak akan tak sedar Rolex harga macam itu sebenarnya palsu? Kalau kat sana pun tak dapat harga macam tu,” komen Kevin.
“Harga AS$120 tu celah gigi dia je. Dia banyak duit, sejenis tak kisah kot palsu atau tidak. Yang tukang bawa dia pun, hampir semua tempat bawa Speed ini tak best,” komen Siti.
Bagaimanapun, ada pengguna memaklumkan video tersebut hanya kandungan semata-mata untuk meraih lebih ramai penonton ke saluran YouTubenya.
“Dia tahu, tapi sengaja untuk konten saluran dia. Takkanlah dia percaya jam Rolex semurah itu,” tulis Gotzu.
“Speed tahu je, jam tu palsu. Dahlah beli di tepi jalan bukan dekat butik,” komen Aishah pula. – KOSMO! ONLINE