fbpx

11 individu termasuk wanita hamil tidak mengaku tipu tawar pekerjaan tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara 11 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud, bulan lalu. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

TAIPING – Wanita hamil tujuh bulan antara 11 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud, bulan lalu.

Tertuduh, Ng Kai Yee, 22, bersama 10 yang lain melibatkan tiga wanita dan tujuh lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Terdahulu, Kai Yee bersama, Toh Khai Shean, 24; Lee Kong Pa, 22, dan Yeoh Li Kee, 26, didakwa bersama-sama sebagai pihak pakatan jenayah telah melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu cuba menipu mangsa dengan tawaran pekerjaan tidak wujud.

Kesalahan itu dilakukan keempat-empat tertuduh di sebuah rumah di Taman Desa Tekkah Sentosa dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada pukul 1.30 tengah hari, 14 Ogos 2024.

Pada prosiding sama, tujuh lagi individu iaitu Chuah Cher Sheng, 25; Lam Yong Jun, 24; Ng Zi Cong, 25; Yeong Yong Long, 24; Wong Li Jia, 23; Leong Ying Zhi, 21, dan Leyu Yee Ying, 24, turut didakwa bagi kesalahan serupa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin mencadangkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Privesh Paul Singh yang mewakili Kai Yee memohon agar anak guamnya yang sedang hamil tujuh bulan diberikan jaminan minimum dalam lingkungan RM2,000.

Tan Kian Peng yang mewakili 10 tertuduh lain pula memohon semua tertuduh dikenakan jaminan rendah dan pada kadar munasabah atas alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap selain perlu menanggung ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh bersama syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI