KUALA LUMPUR – “Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 memang wujud, bukan saya yang cipta.”
Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad menganggap segala kecaman yang diterima berkaitan isu ‘abang bas’ sebagai cabarannya untuk mendidik masyarakat mengenai isu gangguan seksual yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat hari ini.
Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, berkata, dia sudah lali dengan kata-kata cacian dan hinaan malah tidak kisah sekiranya dilabel sebagai ‘terpaling’ lantang mengenai isu tersebut.
“Semua ini satu cabaran untuk saya menyebarkan kesedaran terhadap masyarakat. Bukan nak kata sebab saya ada latar belakang dalam bidang undang-undang tetapi perkara ini tak perlu menjadi seorang peguam pun untuk suarakan.
“Benda ini hanya perlu pakai otak, isu ini sudah ada akta. Mengikut akta, apa yang Abang Bas lakukan itu adalah salah. Jadi siapa saya untuk dakwa sesuka hati sahaja?
“Saya cakap berdasarkan fakta. Nak cakap saya ‘terpaling’ terpulang. Saya hanya mampu sebarkan kesedaran sahaja,”katanya kepada Kosmo! Online semasa ditemui pada majlis pengumuman malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ( ABP) ke-36, di sini, semalam.
Hos program Wanita Hari Ini (WHI) itu menambah, mana-mana individu yang terbabit termasuk Abang Bas layak mendapat pembelaan selagi belum disabitkan bersalah.
“Ini adalah hak undang-undang untuk semua orang. Alhamdulillah, ada peguam secara sukarela ambil kes tersebut dan ada yang mahu mendapatkan keadilan untuknya.
“Itu adalah hak asasi, semua orang harus diberi peluang untuk membela diri sendiri.
“Saya pun tak pernah jatuhkan hukuman kepada Abang Bas, biarlah mahkamah yang mengadili ,” katanya lagi.
Ujar Uyaina, dia juga tidak kisah terus dicemuh netizen malah menyifatkan perkara tersebut lumrah kehidupan sebagai seorang selebriti.
Sebelum ini, Uyaina meluahkan rasa kecewa dengan tindakan seorang pemandu bas merakam video pelajar sekolah.
Menurutnya, perbuatan tersebut dilihat boleh menyumbang kepada jenayah melibatkan kanak-kanak.
Pemandu bas lebih dikenali sebagai ‘abang bas’ itu didakwa di Mahkamah Muar, Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan namun dibebaskan semalam dengan bayaran jaminan sebanyak RM40,000.
Rentetan itu, keluarga abang bas menyatakan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka serta kecaman terhadap mereka sebelum ini.
Antara nama dipetik netizen ialah Uyaina dan Diana Danielle kerana dilihat lantang bersuara mengenai isu itu dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE