fbpx

Empat kelab dibenar daftar 12 import – MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan JDT antara kelab yang dibenarkan untuk mendaftar 12 pemain import musim ini. - Foto ihsan Johor Southern Tigers

PETALING JAYA – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan kelab Liga Malaysia (Liga M) yang bersaing di kejohanan antarabangsa untuk mendaftarkan maksimum 12 pemain import pada musim ini.

MFL dalam satu kenyataan berkata, Pindaan Manual Liga M 2024-2025 mendapat persetujuan bersama majoriti Rakan Kongsi selain telah mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), pindaan terbaharu itu menyaksikan kelab-kelab yang bertanding dalam saingan antarabangsa AFC dan AFF (JDT, Selangor FC, Terengganu FC dan KL City) dibenarkan mendaftar maksimum 12 pemain asing berbanding 10 sebelum ini.

“Penambahan kuota pemain asing ini memberi peluang kepada setiap pasukan bersaing dalam kejohanan peringkat antarabangsa dengan lebih kompetitif.

“Dengan pindaan berkenaan, komposisi pemain dalam kelab-kelab terlibat adalah seramai 34 pemain membabitkan 22 pemain tempatan dan 12 pemain asing.

“Namun, peraturan pendaftaran pemain asing di dalam Team List bagi perlawanan di pertandingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Cabaran masih kekal iaitu 7 pemain (6+1).

“Kuota tambahan ini tidak akan menjejaskan peluang pemain-pemain tempatan untuk beraksi kerana 2 pemain asing tambahan ini hanya dibenarkan beraksi dalam pertandingan Piala MFL,” kata kenyataan tersebut.

MFL turut menegaskan kelab Liga M yang tidak terlibat dalam kejohanan antarabangsa hanya dibenarkan mendaftar maksima 9 pemain asing sahaja seperti peraturan sedia ada. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI