fbpx

Badan Peguam mahu rumah kebajikan dipantau ketat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Demi mengelak kejadian malang menimpa kanak-kanak di rumah kebajikan, Badan Peguam Malaysia mencadangkan supaya langkah pematuhan lebih ketat dalam memastikan rumah-rumah ini dipantau dan dikawal dengan teliti.

Yang Dipertuanya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, ini kerana laporan mengenai penderaan, pengantunan (grooming) dan eksploitasi seksual yang sistemik terhadap mangsa kanak-kanak di pusat-pusat ini amat mengejutkan dan menyayat hati.

“Badan Peguam Malaysia menyokong sepenuhnya tindakan segera yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain yang terlibat, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan.

“Rumah-rumah (kebajikan) ini yang sepatutnya memberikan penjagaan dan perlindungan, malangnya telah bertukar menjadi tempat penderaan yang mengerikan. Apa yang terjadi ini sama sekali tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan anak-anaknya,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian malang yang menimpa kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Justeru, beliau menyeru agar semua badan kawal selia, bukan sahaja PDRM dan JKM menguatkuasakan langkah pematuhan yang lebih ketat dan memastikan rumah-rumah ini dipantau serta dikawal dengan teliti, selain masyarakat dengan pihak berkuasa untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.

Mohamad Ezri berkata, Badan Peguam Malaysia juga menekankan kepentingan kesedaran dan penyertaan awam, adalah penting bagi rakyat untuk menyedari bahawa rumah jagaan yang tidak dikawal mempunyai risiko yang besar, terutamanya terhadap golongan rentan (vulnerable group) seperti kanak-kanak.

Katanya dalam hal ini, Badan Peguam Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mangsa-mangsa terbabit.Kita tidak boleh membiarkan penderaan mengerikan seperti ini terus diabaikan begitu sahaja.

Badan Peguam Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan untuk mangsa dan memastikan tindakan sewajarnya diambil untuk menghapuskan ancaman ini dalam masyarakat kita.

“Bersama-sama, kita mesti berusaha mewujudkan persekitaran yang lebih selamat agar hak dan maruah setiap kanak-kanak dilindungi,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seramai 172 daripada 402 kanak-kanak yang diselamatkan polis dalam serbuan Op Global di 20 buah rumah amal disyaki dieksploitasi sehingga menyebabkan terdapat kecederaan fizikal, emosi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI