PETALING JAYA – Penyanyi Zizi Kirana menegur dan memohon kepada pengguna laman sosial terutama peminatnya untuk memberikan dia masa bagi memadam semua gambar seksinya dalam Instagram.
Penyanyi berusia 35 tahun itu juga meminta peminatnya untuk bersabar dan tidak cepat melatah serta mendesak dirinya mengikut telunjuk mereka.
“Kelakarlah netizen ini. Bila keluar kenyataan saya sudah padam gambar seksi, kelam kabut terus scroll sampai ke gambar pertama yang aku muat naik dulu.
“Lepas itu apabila ada gambar yang aku tertinggal terus kata tak padam pun.
“Gaisss! (guys) Santai baaa..Satu-satu ok. Kesabaran amat diperlukan di sini. Sebab banyak gambar kat Instagram tu,” katanya.
Pada masa sama, penyanyi lagu Eh! ity turut mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk peminatnya.
“Slow dan steady! Saya doakan kebaikan diberikan kepada anda semua,” ujar penyanyi kelahiran Sabah itu.
Terdahulu, Zizi pernah menyatakan hasratnya untuk memadam beberapa gambar seksi yang pernah dimuat naik dalam Instagram miliknya sebelum ini.
Bahkan, dalam satu pengakuannya sebelum ini, Zizi mula menyedari dosa-dosanya dan nekad menjaga penampilan serta tidak akan memakai pakaian terdedah selepas ditegur oleh ibunya. – K! ONLINE