fbpx

Surah Yusof, doa pendinding tepis peluru komunis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BESAR (kiri) menunjukkan gambarnya berpakaian seragam kepada Azli di rumahnya di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Meskipun sudah berusia lebih satu abad, pengalaman berdepan pengganas komunis ketika menjadi anggota Polis Hutan masih segar dalam ingatan Besar Long yang kini berusia 103 tahun.

Ujar warga emas kelahiran Kampung Manir itu, beberapa siri pertempuran juga menyebabkan lebih 40 rakan sepasukannya terkorban di tangan pengganas komunis.

“Saya mula menyertai pasukan yang ketika itu dikenali sebagai ‘Jungle Squad’ pada 1948 dan ditempatkan di Kuala Lumpur dan Selangor bagi memerangi ancaman komunis pada zaman darurat.

“Pasukan saya berdepan ancaman bersenjata pengganas komunis termasuk beberapa siri serangan hendap di Lembah Klang hampir setiap hari,” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chabang Tiga, di sini semalam.

Terdahulu, Besar diziarahi Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor.

Ujar Besar yang masih kuat ingatan, antara kenangan tidak boleh dilupakan ialah dapat menembak mati dua pengganas komunis dalam operasi pada 1960.

Dia juga masih terasa sedih terkenang ramai rakan seperjuangan terkorban dalam pertempuran.

“Saya bersyukur tidak me­ngalami sebarang kecederaan sepanjang berkhidmat dalam pasukan keselamatan.

“Amalan saya ialah membaca surah Yusof dan beberapa doa meminta perlindungan Allah daripada serangan musuh setiap kali bertugas,” katanya.

Jawatan terakhirnya sebelum bersara pada 1984 ialah Ketua Balai Polis Pulau Bidong.

Sementara itu, Azli berkata, kunjungannya bertujuan menghargai pengorbanan veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang banyak berjasa kepada negara sempena Hari Malaysia yang di­sambut Isnin lalu.

“Keberanian dan pengorbanan anggota keselamatan terdahulu harus dijadikan contoh kepada masyarakat serta pegawai dan anggota PDRM khususnya,” tambahnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI