fbpx

Glasgow selamat maruah Sukan Komanwel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GLASGOW sebelum ini memiliki pengalaman untuk menganjurkan acara temasya sukan apabila turun menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2014 lalu. - AFP

LONDON – Scotland tampil sebagai penyelamat apabila menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026, namun dalam versi yang lebih sederhana selain turut mendapat sokongan kewangan daripada Australia.

Keputusan tersebut terpaksa dibuat setelah Victoria, Australia, menarik diri sebagai tuan rumah kerana peningkatan kos yang mendadak sekali gus menyebabkan anggaran perbelanjaan melambung kepada NZ$6.6 bilion (RM17.4 bilion).

Sebagai pampasan, Victoria terpaksa membayar NZ$415 juta (RM1.09 bilion) kepada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dengan NZ$219 juta (RM578.37 juta) daripadanya disalurkan ke Scotland untuk menampung kos penganjuran.

Menteri Kesihatan dan Sukan Scotland, Neil Gray dalam jawapan bertulis kepada Parlimen Scotland menyatakan bahawa kerajaan telah menilai dengan teliti cadangan untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.

“Kerjasama ini sangat produktif dan telah menghasilkan cadangan acara yang kukuh yang berpotensi menyokong masa depan Sukan Komanwel dan menawarkan manfaat ekonomi serta sukan kepada Scotland,” katanya.

Sukan Komanwel 2026 ini dijangka menjadi lebih kecil dengan hanya 10 acara sukan diadakan di empat lokasi sekitar Glasgow, berbeza dengan edisi 2014 yang menampilkan 17 sukan dengan kos yang lebih tinggi sebanyak NZ$1.2 bilion (RM3.1 bilion).

Meskipun butiran tentang sukan yang akan dikurangkan belum diumumkan sepenuhnya, acara utama seperti olahraga dan renang hampir pasti berada dalam senarai. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI