fbpx

UCL: Arsenal enggan perjudi nasib Saka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STERLING mungkin berpeluang untuk beraksi menentang Atalanta ketika Arsenal enggan mengambil risiko terhadap Saka yang berdepan kecederaan. - FB ARSENAL

LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berdepan fasa getir untuk merencana kesebelasan terbaik menjelang aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang juara Liga Europa, Atalanta di Stadium Gewiss awal pagi esok.

Selain memburu tiga mata, Arteta, 42, juga perlu memastikan barisan yang diturunkan di Bergamo nanti bebas daripada kecederaan dalam tempoh singkat sebelum berdepan Manchester City untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad pada Ahad ini.

Tonggak utama The Gunners, Bukayo Saka antara nama yang masih belum pasti disebabkan kecederaan dialaminya ketika menang 1-0 ke atas Tottenham Hotspur dalam derbi Utara London hujung minggu lalu.

Difahamkan, pengendali dari Sepanyol itu mahu merehatkan Saka di bangku simpanan terlebih dahulu dengan menurunkan bintang pinjaman Chelsea, Raheem Sterling untuk aksi menentang Atalanta.

Selain Sterling, penyerang Brazil, Gabriel Jesus juga dikatakan akan diberikan peluang memulakan aksi selain kepulangan pemain tengah bertahan, Declan Rice kembali memperkuatkan kesebelasan utama.

Bagaimanapun, ketua pasukan, Martin Odegaard hampir pasti belum sempat pulih sepenuhnya untuk aksi tersebut susulan kecederaan dialami perancang tengah itu bersama Norway sebelum ini.

“Mengenai Martin (Odegaard), kami masih perlu menunggu berita (daripada pasukan perubatan),” kata Arteta selepas tamat aksi menentang Spurs yang menyaksikan bek tengah Arsenal, Gabriel Magalhaes meledak gol tunggal perlawanan.

Biarpun tidak pernah menentang Atalanta tetapi Arsenal kekal menjadi pasukan pilihan berdasarkan rekod cemerlang mereka setiap kali menentang pasukan-pasukan dari Itali di pentas Eropah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI