SELEPAS lama ‘menghilang’, para pemain pasukan utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya kembali muncul di padang latihan sejak kelmarin.
Kehadiran semula para pemain itu selepas boikot panjang selama hampir dua minggu akibat isu tunggakan gaji selama lebih enam bulan memberi bayangan bahawa mereka akan kembali beraksi dalam aksi menentang Sri Pahang FC di laman sendiri Jumaat nanti.
Meskipun mengakui lega dapat kembali melihat anak-anak buahnya menjalani latihan, Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain memaklumkan, banyak ‘kerja’ yang perlu dilakukan bagi memastikan mereka dapat mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti.
“Mereka kembali berlatih sejak Isnin lalu dan ini satu kelegaan buat barisan kejurulatihan dan pengurusan. Bagi kami, melihat mereka turun berlatih pun sudah menjadi satu rahmat buat pasukan.
“Tetapi, perlu diakui, rata-rata pemain tidak berada dalam kondisi terbaik setelah lama berehat. Dalam tempoh singkat ini, kami akan cuba melakukan persiapan terbaik bagi berdepan Tok Gajah,” katanya selepas mengendalikan latihan pasukan di Padang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) semalam.
Selain tempoh yang singkat, cabaran lain yang perlu dilalui Nafuzi serta barisan kejurulatihan adalah keadaan cuaca di negeri ini yang dijangkakan akan berdepan keadaan ribut dan hujan lebat berterusan dalam tempoh empat atau lima hari mendatang.
Keadaan itu menyebabkan pasukan berkenaan tidak dapat menjalani latihan penuh dengan para pemain semalam, hanya menjalani latihan ringan dalam keadaan hujan cukup lebat.
Nafuzi menambah, walau apa pun cabarannya, beliau bersama barisan kejurulatihan akan cuba melakukan yang terbaik bagi mempersiapkan pemain untuk tidak menghampakan penyokong mereka di Stadium Darul Aman.