fbpx

K2

Bolehkah berdoa untuk ubah takdir?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISLAM menganjurkan umatnya untuk meminta doa kepada Allah SAW.

Bolehkah kita beriktikad bahawa doa boleh mengubah takdir Allah SWT?

Jawapan: Allah SWT menganjurkan kepada hamba-hamba-Nya untuk meminta kepada-Nya. Allah juga menjamin akan memperkenankan permintaan mereka.

Nabi SAW pula mengajarkan cara meminta dengan rendah hati, tunduk dan patuh kepada-Nya. Kemudian Baginda SAW menunjukkan cara bertawakal ketika berdoa.

Allah SWT berfirman: “Dan Tuhanmu berkata: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan doa kamu.” (Surah Ghafir, 60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa doa merupakan pengakuan diri akan kehambaan, kehinaan dan keburukan. Bahkan dikatakan dengan tidak berdoa, seolah-olah seorang itu terlalu angkuh untuk menunjukkan kehambaan.

Doa juga bertujuan untuk menzahirkan rasa rendah diri, kekurangan dan tunduk kepada kepatuhan Allah SWT. Selain itu, doa adalah sebahagian daripada rahmat dan kemurahan-Nya.

Allah SWT mempercayakan hamba-hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya, lalu memastikan bahawa doa-doa mereka dikabulkan.

Hal ini secara jelas menggambarkan kepentingan ibadah berdoa. Bahkan, menjadi satu tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya.

Dalam pada itu, doa berkait rapat dengan takdir Allah SWT.

Doa dan takdir Allah SWT memiliki kedudukan yang tersendiri. Orang yang berdoa tidak bermaksud menentang takdir yang telah Allah SWT berikan kepadanya. Perihal takdir Allah SWT dijelaskan dalam firman Allah SWT: “Allah SWT menghapuskan segala yang dikehendaki-Nya dan

Dia juga menetapkan segala yang dikehendaki-Nya dan ingatlah pada sisi-Nya terdapat Ummul Kitab iaitu ibu segala persuratan.” (Surah ar-Ra’du, 39)

Ayat di atas membincangkan bahawa Allah SWT menghapuskan takdir yang mempunyai sebab musabab, manakala Allah SWT menetapkan takdir yang memiliki suratan pasti.

Penghapusan dan penetapan takdir ini adalah termasuk dalam akidah Islam.Oleh yang demikian, banyak ketetapan yang ditulis dalam lohmahfuz tertakluk kepada perubahan dan penggantian dengan sebab musabab yang digunakan atau tidak digunakan oleh seseorang.

Antara contoh sebab musabab yang digunakan oleh seseorang termasuklah berdoa kepada Allah SWT, bersedekah untuk mengelak musibah dan mendapatkan perubatan bagi merawat penyakit.

Adapun mengenai ilmu Allah SWT, ia meliputi semua perkara termasuk cabang-cabang dalam takdir yang pasti di lohmahfuz. Ilmu Allah SWT merangkumi kesemuanya, ini kerana Allah SWT Maha Mengetahui akan takdir seseorang selepas mengambil sebab musabab yang digunakan.

Antaranya seperti berdoa, bersedekah, mendapatkan rawatan, menghubungkan silaturahim dan sebagainya.

Ilmu yang menyeluruh ini adalah perkara yang berkaitan dengan Ummul Kitab iaitu ibu segala persuratan.

Tiada siapa yang dapat mengetahuinya, melainkan Allah SWT.

Di samping itu, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ditolak satu-satu takdir ketentuan melainkan dengan doa.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis di atas menyarankan untuk berdoa kerana hakikat kepada takdir Allah SWT itu tidak diketahui.

Doa juga merupakan salah satu sebab musabab yang tidak bercanggah dengan reda kepada takdir Allah SWT.

Oleh itu, apabila Allah SWT menghendaki sesuatu untuk hamba-hamba-Nya, maka Allah SWT mengilhamkan seseorang itu untuk berdoa, lantas Dia mengabulkannya.

Maka, doa itu adalah sebahagian daripada takdir Allah SWT. Allah SWT boleh memalingkannya seseorang untuk berdoa atau tidak mengabulkan permintaan daripada seseorang.

Hal ini kerana pengabulan doa bergantung pada kehendak Allah SWT.

Dengan keadaan sedemikian, doa itu diumpamakan seperti mendapatkan rawatan dalam perubatan. Berkemungkinan doa boleh mengubah takdir Allah SWT, berkemungkinan juga tidak.

Semua ini bergantung pada kehendak Allah SWT dan ia tidak menyalahi dengan takdir-Nya.

Bagaimanapun, terdapat pelbagai bentuk pengabulan doa. Kadang-kadang, doa dimakbulkan dengan kadar segera yang bersesuaian permintaan.

Namun, di kesempatan yang lain pula, doa dimakbulkan dengan kadar agak lambat dalam bentuk yang bersesuaian permintaan kerana mengandungi hikmah tertentu.

Kadang-kadang, doa dimakbulkan dengan bentuk yang tidak sesuai permintaan.

Hal ini kerana permintaan tersebut tidak mengandungi kebaikan yang tuntas, namun sesuatu yang tidak diminta mengandungi kebaikan tuntas.

Boleh jadi juga kerana pada permintaan tersebut mengandungi kebaikan yang tuntas, tetapi sesuatu yang tidak diminta mengandungi kebaikan yang lebih tuntas.

Perkara ini semua berdasarkan kefahaman bahawa pengabulan doa yang terikat dengan kehendak-Nya.

Hal yang demikian kerana ia adalah perkara yang disarankan oleh baginda Nabi SAW dan dilakukan oleh para sahabat RA.

Bersama-sama dengan iktikad ini juga tidak menafikan bahawa doa itu sendiri tidak boleh mengubah takdir Allah SWT.

Semua ini bergantung pada kehendak Allah SWT dan perkara ini tidak menyalahi dengan takdir-Nya. Wallahu A’lam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI