fbpx

Bendera merah dinaikkan, masih ada yang berdegil mandi di Pantai Chenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA APM menaikkan bendera merah dan memasang papan tanda amaran tidak berenang di Pantai Chenang, Langkawi.

LANGKAWI – Terdapat pengunjung yang masih berdegil dengan mandi di Pantai Chenang meskipun bendera merah telah dinaikkan berikutan keadaan laut bergelora dan ombak tinggi sejak kelmarin.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi menaikkan bendera merah di dua kawasan pantai tumpuan pelancong iaitu Pantai Chenang dan Pantai Tengah sebagai tanda amaran berbahaya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Khairul Afzan Md. Yasin berkata, amaran berbahaya itu dikeluarkan selepas keadaan laut bergelora dengan ombak mencecah setinggi dua meter berikutan hujan dan ribut tidak menentu sejak kelmarin hingga awal pagi ini.

“Anggota Penyelamat Pantai APM Langkawi bertindak menghampiri dan menasihatkan pengunjung yang masih berdegil mandi di pantai dan memberi tumpuan mengawasi kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai peka dengan bendera merah serta papan tanda yang diletakkan di kawasan pantai terlibat oleh APM.

“Tanda amaran itu bagi memberi peringatan kepada masyarakat berkaitan risiko menanti di kawasan berkenaan seterusnya mengelak tragedi buruk menimpa pengunjung,” ujarnya.

Sementara itu, kata Khairul Afzan, beberapa lokasi di pulau ini terjejas apabila berlaku kejadian pokok tumbang ketika hujan lebat dan ribut, baru-baru ini.

“Pusat Kawalan Operasi dan Daerah (PKOD) Langkawi menerima panggilan kecemasan bermula pukul 3 petang pada Isnin lalu hingga hari ini. Kejadian pokok tumbang menyebabkan beberapa rumah penduduk rosak dan menghalang laluan jalan raya.

“Antara jalan yang terjejas ialah Kampung Ulu Melaka, Jalan Bukit Malut, Jalan Trimula, Jalan Persiaran, Kampung Kilim, Kampung Kisap, Taman Dahlia dan Bukit Banggali,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja pemotongan dan pembersihan sisa pokok giat dijalankan oleh anggota-anggota APM Langkawi sehingga hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI