fbpx

Tapak sampah haram gengster digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUATKUASA MBDK memasang pita sitaan di lokasi sampah haram itu.

KLANG – Kegiatan tapak pembuangan sampah haram yang dipercayai dilindungi kumpulan gangster di Batu 4, Kampung Jawa di sini digempur, baru-baru ini.

Dalam operasi kira-kira pukul 3 petang, Sabtu lalu itu dilakukan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati lokasi tersebut telah beroperasi sejak Mei lalu dengan melibatkan keluasan hampir 0.08 hektar.

Ahli Majlis MBDK, S. Nyaneswaran berkata, berdasarkan aduan yang diterima beliau mendapati ada dalam kalangan penduduk diugut sekiranya melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Katanya, jarak lokasi pembuangan sampah tersebut dengan perumahan penduduk adalah kira-kira 100 meter sahaja.

“Ini membuatkan penduduk terpaksa menanggung derita terhadap bau busuk serta sakit tekak dan sering demam khususnya dalam kalangan warga emas dan ibu mengandung.

“Hasil pemeriksaan di lokasi turut menunjukkan terdapat sampah sisa perubatan termasuk bahan kimia jenis Methyl Methacylate telah dibuang selain sampah domestik lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan turut mendapati aktiviti pembuangan sampah dan pembakaran kebiasaannya dilakukan bermula pukul 12 tengah malam ke atas.

Ujarnya, penjaga kawasan berusia 35 tahun juga mengaku mengambil bayaran antara RM100 hingga RM150 daripada lori-lori yang ingin membuang sampah di lokasi tersebut.

“Kita menganggarkan terdapat 10 tan sampah telah dibuang di tapak tersebut yang merupakan tanah persendirian.

“Selain itu, dalam operasi tersebut turut menahan dua pemandu berusia 30-an bersama lori masing-masing yang baharu membuang sampah mereka secara haram di tapak berkenaan,” katanya.

Beliau menambah, ia adalah lokasi kedua seumpamanya berjaya dikesan yang mempunyai penglibatan gengsterism selepas di Taman Sentosa di sini.

“Kita berharap pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha tanah dan pesalah yang terlibat dalam pembuangan dan pembakaran sampah haram ini.

“Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa dibawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr. Gunaraj George mat komited bagi mencecah isu-isu ini dalam mentransformasikan Klang ke arah bandaraya yang bersih dan selamat,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz menjelaskan, pihaknya telah mengeluarkan saman berjumlah RM1,000 kepada penjaga kawasan selain menyita lokasi tersebut.

“Kita juga dalam usaha mengenal pasti pemilik tanah untuk dikenakan tindakan atas kesalahan tidak menjaga tanahnya yang digunakan sebagai tapak pembuangan dan pembakaran sampah haram,” katanya.

Kosmo! pada 2 September 2022 melaporkan kebanyakan operator yang menjaga tapak pelupusan sampah haram di Selangor adalah individu yang mempunyai latar belakang jenayah atau terlibat dengan gengsterism.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor ketika itu, Ng Sze Han pada sidang DUN yang memaklumkan, perkara itu merupakan halangan yang telah dikenal pasti dalam membasmi sampah haram di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI