KOTA KINABALU – Pihak Polis berjaya menyita sembilan kenderaan selain mengeluarkan 35 saman membabitkan pelbagai kesalahan dalam operasi Op Samseng Jalanan di kawasan Aeropod, Jalan Kepayan semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seramai 106 individu serta sebanyak 86 kenderaan pelbagai jenis diperiksa pihak berkuasa dalam operasi selama enam jam yang bermula jam 10 malam itu.
“Pemeriksaan dilaksanakan secara teliti menggunakan alat MCOPS. Semua kenderaan yang disita ditahan atas pelbagai kesalahan seperti kesalahan pengubahsuaian kenderaan atau nombor plat yang tidak mengikut peraturan.
“Selain itu, terdapat juga kesalahan pengubahsuaian ekzos,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Habibi berkata, semua kenderaan yang disita akan dihantar untuk pemeriksaan Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah dalam masa yang terdekat.
Sementara itu, Hajiji menyatakan usaha penguatkuasaan akan terus dijalankan secara berterusan bagi mencegah kegiatan samseng jalanan di sekitar daerah Kota Kinabalu. – K! ONLINE.