fbpx

‘Babak berkemban itu seni, bukan alat pelaris filem’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Sasqia Dahuri anggap babak berkemban sebagai elemen seni, bukan alat seksual tarik penonton ke pawagam.

KUALA LUMPUR – Pelakon Sasqia menafikan babak berkemban dalam filem terbaharu lakonannya, Tafakur bertujuan untuk alat menarik perhatian penonton ke pawagam.

Sebaliknya Sasqia atau nama lengkapnya Nurlisasqia Ahmad Dahuri, 39, memberitahu babak tersebut merupakan sebahagian sentuhan seni daripada pengarah karya berkenaan, Feisal Azizuddin.

“Bagi saya babak berkembang itu adalah seni buat pengarah filem bebas (indie) seperti Feisal. Itu adalah pertama kali saya membawakan watak berkemban.

“Walaupun saya bertindak sebagai penerbit bersama bagi filem ini, tetapi saya ingin tegaskan babak tersebut bukan bertujuan untuk melariskan filem.

“Kalau kita tonton babak itu bagi saya tiada unsur tarikan seksual. Sebaliknya ingin menggambarkan perasaan kekecewaan seseorang apabila kepercayaannya dikhianati,” katanya ketika ditemui dalam majlis Tayangan Perdana Tafakur di sini semalam.

Sasqia turut mengakui setelah lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri, filem Tafakur merupakan karya pertama dia menjayakan babak berkembang yang memaparkan dirinya dimandikan aktor Syazani Zikry.

Pada masa sama, Sasqia turut memberitahu, dia telah berbincang dengan pengarah dan membuat beberapa pertimbangan sebelum bersetuju untuk melakonkan babak berkenaan.

Kata Sasqia, awalnya dia berasa bimbang sekiranya babak tersebut tidak dibenarkan dan dipotong oleh Lembaga Penapis Filem (LPF)

“Saya ada merujuk pengarah untuk menjayakan babak itu. Kami ada berbincang dan saya tanyakan kepada dia adakah babak ini akan berjaya?

“Bagi saya setiap keputusan akhir itu bergantung kepada pihak LPF dan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia). Apabila dimaklumkan tiada masalah, jadi pada saya tiada masalah,” katanya.

Menganggap babak tersebut sebagai cabaran, Sasqia memberitahu pada awalnya dia ingin melakonkan babak itu sambil menangis.

“Setelah berbincang pengarah kata, babak itu ingin menunjukkan saya ini seperti orang yang putus harapan dan keliru dengan apa yang berlaku.

“Babak ini juga menggambarkan keadaan individu yang mengalami masalah tekanan mental. Pada saya isu kesihatan mental ini berat dan boleh berlaku kepada sesiapa saja,” katanya.

Selain Sasqia dan Syazani, filem terbitan Feisk Productions dan Stelo Infotainment itu turut dibintangi oleh Luqman Hafidz dan Amylia Aidura.

Tafakur akan memulakan tayangan di pawagam bermula 19 September depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI