KLUANG – Berkempen dengan mencari kesilapan orang adalah satu cara kempen yang sudah ketinggalan zaman selain tidak berhemah.
Ini kerana cara kempen seperti ini sudah tidak relevan lagi kerana pengundi zaman sekarang sudah jauh maju kehadapan dan cakna dengan perkembangan semasa selain tidak menyokong seorang pemimpin sekadar bercakap kosong tanpa fakta.
Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub turut menyelar tindakan Calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar yang mendakwa Kerajaan Negeri Johor serta Ketua Kampung Bentong tidak mengambil cakna terhadap masalah banjir di kampung berkenaan.
Katanya, rakyat ketika ini sudah bijak membezakan antara permata dan kaca apatah lagi terhadap seorang pemimpin yang mencari kesalahan orang sedangkan dirinya juga tidak mendalami setiap isu dibangkitkan.
“Jika nak berkempen, carilah isu baharu dan bukan menggunakan modal lapok dengan mencari kesalahan orang lain tanpa menyedari hakikat sebenarnya.
“Berkaitan isu banjir di Kampung Bentong, tindakan sudah diambil oleh pihak berkaitan tanpa menidakkan masalah dihadapi penduduk,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata demikian ketika ditemui pada program Ziarah Kasih bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di Kluang hari ini.- KOSMO! ONLINE