LANGKAWI – Bendera merah dinaikkan di Pantai Chenang, di sini berikutan keadaan ombak kuat dan air pasang pada hari ini.
Bendera merah itu sebagai amaran kepada pengunjung supaya tidak mandi atau melakukan aktiviti air di pantai tersebut.
Kejadian air pasang pada pagi tadi dikatakan agak tinggi sehingga menghempas kira-kira 15 khemah menempatkan kaunter syarikat aktiviti air.
Pemilik JM Watersports, Mohd Jafri Juhari, 38, berkata, pulau ini ketika ini dilanda angin kuat dan air pasang penuh menyebabkan paras air di Pantai Chenang lebih tinggi daripada biasa.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi tadi, air pasang dan ombak kuat menghempas kaunter miliknya.
“Kami bernasib baik kerana ketika itu kaunter sedang beroperasi jadi ada pekerja di kaunter. Kebanyakan barang dirantai pada khemah dan tiada yang hanyut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, keadaan angin kencang itu berlaku sejak hampir dua minggu lalu.
“Agak sedih jugalah kerana cuti sekolah kali ini ramai pelancong yang masuk ke Langkawi tetapi keadaan cuaca tidak mengizinkan, kita terima sajalah, apabila tidak boleh beroperasi lama” ujarnya. – KOSMO! ONLINE