fbpx

Ibu bapa tidak mengaku anak mereka penghuni rumah amal GISBH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global di sebuah rumah amal baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis mendedahkan ada ibu bapa tidak mengaku anak mereka merupakan antara 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal kendalian Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) selepas menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental selain pengantunan seksual.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti sebahagian ibu bapa berkenaan, namun ke­semua individu itu masih belum tampil untuk diambil keterangan.

Katanya, antara alasan yang diberikan adalah tidak menge­tahui anak mereka telah di­selamatkan dari rumah amal yang ­di­se­rbu pihak berkuasa.

“Ada juga ibu bapa yang tidak mengaku anak-anak mereka memandangkan pihak pengurusan GISBH mendakwa kanak-kanak tersebut sebagai anak yatim.

“Siasatan juga mendapati, sebahagian kanak-kanak ini telah ‘dibinkan’ Abdullah. Kita percaya ia berlaku disebabkan ibu bapa mereka berkahwin, namun tidak berdaftar dengan pejabat
agama.

“Apabila mengandung baru dia mendaftar (di pejabat agama),” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan antara kanak-kanak yang diselamatkan itu adalah adik-beradik.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, terdapat lima jenayah yang dikesan hasil saringan kesihatan yang dibuat terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan sebelum ini.

Tegasnya, antara elemen dikesan adalah penderaan fizikal dan mental kanak-kanak tersebut.

“Kita turut mengesan elemen pengantunan seksual kanak-kanak (child grooming), buruh kanak-kanak, pengabaian dan pembesaran malnutrisi (tumbesaran terbantut),” katanya.

Jelas beliau, elemen jenayah tersebut memerlukan penilaian lanjut daripada kesihatan emosi terhadap mangsa.

Beliau turut memaklumkan, seramai 149 orang mangsa ber­usia satu tahun hingga 10 tahun telah diberikan perintah ­jagaan sementara dan berada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Tindakan itu di bawah Sek­syen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan telah dipindahkan ke empat pusat perlindungan.

“Baki mangsa kanak-kanak seramai 243 orang masih ditempatkan di Pulapol KL dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat,” katanya.

Razarudin turut mendedahkan, hanya dua daripada 20 buah rumah amal yang diserbu pasukan polis menerusi Op Global dikenal pasti berdaftar dengan JKM.

Katanya, pihak JKM tidak dapat melakukan pemeriksaan berkala terhadap premis itu sekiranya tidak berdaftar.

“Hanya dua sahaja (rumah amal) yang berdaftar daripada 20 (yang diserbu). Jadi 18 lagi tidak berdaftar.

“Ini adalah satu kesalahan juga kerana perlu ada kelulusan daripada pihak JKM untuk mengoperasikan sebuah rumah amal,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya pejabat agama negeri ada mengeluarkan kebenaran rumah amal untuk beroperasi, maka ia bukan di bawah tindakan JKM, malah ­perlu merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Hala tuju kita juga kepada perundangan yang lain,” katanya.

Kosmo! pada 14 September melaporkan seramai 13 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH telah diliwat.

Menurut Razarudin, sebanyak 179 lagi disyaki diekspolitasi hingga menyebabkan kecede­raan fizikal dan emosi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI