fbpx

‘Syukur tak perlu jalani dialisis lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAZLAN (kanan) bersama adiknya Mohd. Azruldin sebelum menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada 2018.

PETALING JAYA – “Bersyukur diberi peluang kedua.”

Itu luahan Mazlan Ali, 46, selepas dia menerima buah pinggang daripada adik kandungnya setelah melalui kehidupan sebagai seorang pesakit buah pinggang kronik selama enam tahun.

Menurutnya, dia disahkan sakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis sejak 2012 dan menerima organ ber­kenaan pada 2018.

“Mereka yang disahkan sakit buah pinggang terdapat dua ­rawatan dialisis sama ada menggunakan darah atau air.

“Bagi mengelak kedua-dua rawatan itu, pesakit boleh menjalani pemindahan buah pinggang yang diterima daripada ahli keluarga seperti ibu, bapa, adik-beradik, suami mahupun isteri,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Mazlan yang bekerja sebagai pegawai teknologi maklumat itu berkata, sekitar 2015 dua adik lelaki dan bapanya telah menyatakan hasrat untuk mendermakan buah pinggang mereka selepas dia berkongsi mengenai proses pemindahan organ.

“Ketika itu saya tiada niat mahu mereka mendermakan buah pinggang cuma berkongsi sahaja. Setelah menjalani pemeriksaan, kesihatan bapa tidak mengizinkan, manakala seorang adik saya merokok dan tidak boleh menderma kerana risiko tinggi.

“Kemudian, adik ketiga, Mohd. Azruldin pula menjalani pemeriksaan dan disahkan sihat. Namun sebelum proses pemindahan, dia perlu menjalani pemeriksaan lanjut dan proses­nya memakan masa,” ujarnya.

Tambah Mazlan, sebelum menjalani pemindahan buah pinggangnya berdepan masalah jantung bengkak dan terpaksa dirujuk ke Pusat Transplan Negara, Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani beberapa saringan.

“Apabila pemindahan berjaya dilakukan, saya ambil masa kira-kira setahun untuk sembuh sepenuhnya kerana dalam proses itu, saya mengalami paratiroid.

“Kini saya mempunyai tiga buah pinggang, kerana buah pinggang saya masih berfungsi dalam lima ke enam peratus. Malah buah pinggang saya sendiri tidak perlu dikeluarkan kecuali berbahaya kepada badan,” ujarnya.

Katanya, dia bersyukur kerana diberi peluang kedua apabila menerima buah pinggang daripada adik kandungnya.

“Selepas pembedahan saya banyak berkongsi pengalaman perjalanan saya dari ­menjalani dialisis ke pemindahan buah pinggang.

“Dengan pengalaman yang dikongsi, diharapkan lebih ramai orang akan menderma kerana negara kita ini tidak ramai mahu menderma organ kepada orang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN