WASHINGTON – Antara kata-kata terakhir yang didengar daripada kru kapal selam eksperimen, Titan di dalam Lautan Atlantik Utara adalah ‘semuanya baik di sini’, lapor akhbar The Guardian semalam.
Pasukan pengawal pantai Amerika Syarikat (AS) membuat pendedahan itu menerusi tayangan visual perjalanan Titan dalam perbicaraan kes kapal selam Titan yang meletup di dalam lautan.
Perbicaraan itu diadakan di Charleston Utara, Carolina Selatan.
Pengawal Pantai AS membentangkan visual itu pada hari pertama pendengaran yang menunjukkan apa yang berlaku pada Titan ketika ia meneroka bangkai kapal Titanic.
Titan meletup sehingga membunuh kelima-lima krunya termasuk pemilik kapal selam tersebut dan seorang bilionair pada 18 Jun 2023.
Kru Titan berkomunikasi melalui mesej teks dengan kakitangan di atas kapal Polar Prince, demikian menurut pembentangan Pengawal Pantai.
Kru kapal tersebut terputus hubungan selepas pertukaran teks mengenai kedalaman dan berat kapal selam semasa ia turun lebih dalam ke dalam laut.
Ia kemudian menghantar mesej berulang bertanya sama ada Titan masih boleh melihat Titanic pada paparan di atas kapalnya.
Salah satu jawapan terakhir Titan adalah ‘semuanya baik di sini’.
Pengasas bersama syarikat OceanGate yang memiliki Titan, Stockton Rush; bilionair Hamish Harding; ahli perniagaan Shahzada Dawood bersama anaknya, Suleman dan penyelam, Paul-Henry Nargeolet terkorban dalam nahas itu. – AGENSI